Tuesday, June 1, 2021

NAILAH

Tik..Tik..Tik..

Tubuhku menggigil. Bunyi ketikan itu sayup-sayup menyapa halwa pendengaran. Telapak kaki aku berundur langkah demi langkah ke belakang. Hingga akhirnya hujung tumitku bercium dengan permukaan konkrit yang keras. Dinding. Barisan gigi aku saling bertemu. Sepasang kelopak mata aku masing-masing terpejam rapat.

Tik..Tik..Tik..

Bunyi itu masih lagi kedengaran. Kini, ianya semakin hampir. Aku masih lagi membatukan diri di hujung bilik. Kadang-kadang mata aku menghala ke arah pintu bilik yang teguh berdiri. Tidak terusik langsung. Tidak bergegar mahupun digegarkan. Lantas, apa sebenarnya yang aku takutkan?

Aku termenung dalam ketakutan yang menggila. Tidak semena-mena bunyi ketikan tadi hilang dibawa bayu. Tubuh aku yang tadinya menggigil kini beransur tenang. 

PLAK!
Aku kaget. Baru sahaja nafas lega hendak aku hembus namun kini kegusaran kembali menerjah. Adrenalin menyentak ke segenap pembuluh darah. Tangisan aku semakin kuat. Aku memejamkan mata, menutup telinga lalu mempaksikan tubuh aku setempat. 

Tombol pintu tiba-tiba sahaja berpusing-pusing namun ia gagal untuk dibuka. Nasibku baik kerana aku sempat menguncinya. Namun kemudiannya pintu itu ditendang pula. Kuat. Bagaikan hendak roboh.

Aku menggeletar. Menyedari kehadiran entiti bernyawa di balik pintu tersebut membuatkan hati aku meraung hiba. Aku tak mahu...

Tubuhku rebah tanpa sempat ditahan. Hidung aku yang leper itu bercium kuat dengan lantai. Air mata aku kembali keluar mencurah-curah.

BUM!
Pintu tersebut...
Terbuka...


"Nailah!" 

"Nailah!"

Aku tidak pasti siapa dan mengapa orang tersebut memanggilku. Di mana bilik aku tadi? Mengapa semuanya gelap.

"Nailah!"

Percikan air mengena tepat pada muka aku. Apakah ini semua?

Perlahan-lahan kelopak mata aku membuka tirai. Sinaran cahaya berpusu-pusu ingin menembusi retina mata. Tubuh aku terasa dialasi oleh tilam yang empuk.

"Nailah!"

Aku tersedar penuh.

"Umi!" ,tanpa sebarang kata yang terzahir lagi umi terus mendakap tubuhku erat. Di bahu aku, dia menghamburkan segala tangisan.

"Nailah..umi tunggu Nailah bangun. Dah seminggu Nailah tidur.."

Aku berkerut. Otak aku masih lagi gagal berfungsi. 

"Kenapa umi menangis?" soalku polos. Serupa seperti anak kecil yang sedang menaruh harapan pada lolipop besar.

"Umi minta maaf... umi tak tahu pun Nailah kena pukul dengan ayah...umi mintak maaf"

Lirih suara umi. Aku turut merasai penyesalannya. Untuk seketika cuma, aku dapat menghadam segala apa yang berlaku. Maka, bunyi ketikan yang aku takutkan tadi hanyalah sekadar mimpi?

Dan kini aku sudah bebas daripada cengkaman orang tua jahat itu?

Alhamdulillah..terima kasih Ya Allah.



No comments:

Post a Comment

check this!

0123

tetaplah bersujud  hingga nyawa semakin luput