Jalan raya yang dihiasi dengan lubang dan lopak air diperhati sejenak. Entah manusia atau binatang yang berpijak di sini pun dia tidak dapat untuk menerangkan kewujudan mereka secara terperinci kerana lagak semua penduduk kota ini tidak ubah seperti kingkong yang tidak berguna. Tangannya ligat mengutip sampah-sarap yang bertaburan. Sarung tangan yang pada mulanya putih kini sudah disaluti lendir sampah dan berbau busuk.
Peluh yang sedari tadi merembes keluar dia endahkan. Plastik sampah hitam yang besar dan tebal itu sudah dipenuhi dengan sampah hingga ianya melimpah bagaikan lava yang meletus keluar daripada gunung berapi yang sedang aktif.
BOMMM !
Dia tidak dapat menerangkan betapa dirinya sangatlah berkeinginan untuk mencarut seribu kata sekarang. Langit yang tadinya cerah kini bertukar kelam kerana sudah dipenuhi dengan asap kelabu. Berdentam-dentum bunyi letupan yang terhasil daripada kilang mercun yang berada di belakang jambatan Hamstown yang masih gah berdiri walaupun setelah hampir 50 tahun ia dibina.
Bells mengikat plastik sampah yang sudah penuh tadi sebelum dia campakkan plastik sampah tersebut di belakang jambatan Hamstown. Budaya kota ini memang membuang sampah di bawah jambatan hingga kawasan tersebut penuh lalu sampah sarap tersebut bakal mengalir ke segenap ruang sungai yang berada bawah jambatan Hamstown.
Bells mencebik sekali lagi. Rambut panjang yang hampir terkeluar daripada dalam topi dimasukkan kembali. Sejenak dia terfikirkan sesuatu.
Cis! Dia lupa untuk tanggalkan sarung tangan yang berlendir tadi daripada tangannya. Dia mula menyumpah seranah diri sendiri dalam hati. Lambat-lambat sarung tangan tersebut ditanggal lalu dicampakkan ke tepi.
Dia berlari-lari anak menghampiri pili air yang berdekatan. Topi ditanggal lalu terjuntailah rambut panjangnya yang berwarna jingga asli. Bahagian rambut yang diselaputi lendir sampah tadi dialirkan dengan air supaya lendir dan baunya hilang.
Sambil mengibas rambut yang basah, Bells mencapai topi yang dia letakkan di atas bangku kayu bersebelahan dengan pili air tadi. Pelik. Topinya tiada. Bells sudah mula gelabah. Rambutnya tadi disanggul kembali namun cepat sahaja sanggulnya melorot kerana ketiadaan topi di atas kepala.
Dia mengangkat kepala lalu pandangan matanya bertembung dengan sepasang anak mata merah yang sedang mencerlung tajam ke arahnya. Bells telan air liur.
"Dr. Isabells Vasilevsky."
Tubuh Bells keras kejung mendengarkan suara itu. Rambut yang tadi disanggul sudah terlepas sepenuhnya menutupi belakang badannya hingga ke bahagian pinggul.
Bells menggelengkan kepalanya berkali-kali. Lidahnya seolah-olah digunting kerana dia tidak mampu untuk mengeluarkan sebarang kata.
Makhluk itu menapak mendekatinya. Bells masih lagi setia berdiri di situ kerana batang tubuhnya seolah-olah terpaku sepenuhnya.
No comments:
Post a Comment