💗💗💗
Tidak terkira berapa keping hati yang telah hancur kerana sebuah harapan.
Dan hatinya juga adalah salah satu daripadanya.
Mengapa harus wujudnya sebuah harapan?
Mengapa harus dibiarkan hati bergantung harap pada yang bukan kenyataan?
__________________________________
9 Mac
Dia jatuh terduduk di hadapan wad pembedahan. Hatinya hancur. Luluh
"Maaf cik, ibu cik gagal untuk diselamatkan."
Air matanya mengalir menuruni pipi selebat hujan. Wajah manis ibu terlayar di ruangan minda. Bisikan kasih dan cinta ibu terngiang-ngiang di gegendang telinga. Mustahil...
"Su, ibu sayang Su. Kalau Su rasa penat untuk berharap pada dunia dan isinya, tetaplah bergantung harap kepada penciptanya."
Su sayang ibu. Kenapa ibu tinggalkan Su. Kenapa doktor-doktor tu jahat tak selamatkan ibu?
Dan benarlah harapan itu sakit. Mengingati segala bulan dan bintang yang dijanjikan oleh kakitangan perubatan suatu ketika dahulu membuatkan Su rasa marah. Dah tahu tak boleh kenapa nak berjanji?
Su melekapkan kedua belah tapak tangannya ke muka. Meraup wajah sekali gus menyeka air mata yang berlumba-lumba mahu menodai pipinya. Ibu dah lama menahan sakit. Barah paru-paru ibu sudah pun berada di tahap yang keempat. Sudah banyak kali ibu menolak untuk menerima sebarang pembedahan. Namun, barisan kakitangan perubatan yang bijak pandai itu tidak habis-habis menyarankan ibu untuk menjalani pembedahan.
"Cik, kalau cik sayang ibu cik ini sahajalah jalan terakhir yang cik ada. Ya, ibu cik tak akan bertahan untuk hidup terlalu lama meskipun pembedahan ini berjaya. Tapi, ini adalah sebuah harapan untuk cik hidup dengan dia yang bermaya. Bukannya hidup dengan keadaan ibu cik yang tak mampu buat apa-apa," ujar doktor lelaki itu penuh yakin.
Harapan. Ya, betul. Su memang tidak perlu hidup dengan ibu yang sudah tidak bermaya sebaliknya Su harus hidup tanpa ibu yang sudah tidak bernyawa!
Ayah yang sudah pergi menghadap Ilahi. Diri sendiri yang dilahirkan tanpa adik-beradik. Ibu yang merupakan harapannya yang terakhir juga telah kembali ke tempat tinggalnya yang abadi.
After all of this, what is the meaning of hope?
Hopeless.
No comments:
Post a Comment